Sunday, March 7, 2010

Kisah "Pergi-balik" Makkah

Tuhan “berhutang”

Pulang daripada mengerjakan ibadah haji sesuatu yang aneh berlaku. Semacam tidak percaya tetapi itulah hakikatnya – dia sudah tidak rajin bersolat lagi. Culas. Kekadang buat, kekadang tidak. Apabila ditanya, kenapa?

Dia menjawab, “Tuhan telah ‘berhutang’ banyak dengan saya.”
“Tuhan berhutang?”
“Ya, bukankah saya telah mendapat pahala dan fadilat yang berganda hasil mengerjakan solat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi?”

Kisah ini saya dengar beberapa tahun lalu. Sengaja saya ketengahkan untuk mendapat iktibar daripadanya. Kita beribadah bukan untuk mengejar fadilat (walaupun itu tidak salah), tetapi yang lebih penting adalah untuk membina sifat ubudiyah (kehambaan) kepada Allah. Jika tidak, semakin banyak kita beribadah, kita akan jadi semakin angkuh dan jauh daripada Allah SWT. Atas sifat ubudiyah itu, kita yang sepatutnya merasakan banyak hutang dengan Allah, bukan sebaliknya. Subhanallah!


‘Al-Haj dan Al-Um’

“Lama tak nampak, ke mana?”
Dia diam. Kemudian dia batuk-batuk kecil.
“Hai, bauk pula? Tak sihat ke?”
“Beginilah… Sejak pulang dari umrah rasa tak sihat. Cuaca di sana berbeza betul dengan kita.”

Oh, rupanya dia nak beritahu yang dia baru pulang mengerjakan umrah.

Inilah ragam manusia. Ada yang bangga dengan rumah besar, kereta menjalar, tetapi ada pula yang bangga dengan ibadahnya. Tidak kurang yang kecil hati jika tidak memnggil namaya dengan awalan Haji itu. Itu penting sangat. Sudah jadi macam status sosial. Pergi haji, al-Haj. Pergi umrah… al-Um? Ah, nampaknya masih ada segelintir yang terus terikat dengan amalan ritual yang tidak meningkatkan tahap spiritual. Ego yang disalut “baju” agama.


Kepentingan diri dalam ibadah

Lebih separuh, menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, daripada jemaah haji yang ke tanah suci pada setiap tahun adalah mereka yang mengerjakan haji bukan buat kali pertama. Kebanyakannya kali kedua, ketiga, keempat… Menurut al-Qaradawi lagi, dari segi aulawiyat (keutamaan) kita sudah tersalah. Sedangkan masih ramai lagi umat Islam yang daif, yang perlukan bantuan kewangan di bidang pendidikan, ekonomi dan lain-lain. Itu belum lagi dikira umat Islam yang ditimpa bencana seperti di Acheh dan Jogjakarta.

Mengapa terjadi demikian? Mengapa sukar sangat kita mengeluarkan biaya untuk membantu saudara semuslim berbanding biaya ibadah personal kita? Jawabnya kerana kita masih dibelenggu oleh kepentingan diri, dalam ibadah pun kita masih memilih sesuatu yang memberi manfaat kepada diri berbanding ibadah yang merata manfaatnya kepada orang lain. Padahal kita dituntut agar akrab dengan Allah hasil eratnya hubungan kita dengan hamba-Nya.


Rasuah untuk mencium hajarulaswad?

“Hendak cium hajarulaswad?” bisiknya.

Siapa yang tidak ingin mencium “batu syurga” yang sunat dan sunnah dilakukan itu.

“Kami boleh aturkan. Berikan sekian banyak upahnya. Kami akan lindungi dan bawa awak untuk menciumnya.”
Jika setuju, anda akan dilindungi oleh kumpulan itu dan dibawa merempuh, menolak dan mencelah di tengah kesibukan jemaah untuk dapat mencium hajarulaswad.

Begitulah cerita seorang teman yang pulang dari Makkah satu ketika dulu. Ah, betapa sampai di depan Kaabah pun masih ada rasuah. Untuk mendapat pahala sunat, kita mengorbankan segala yang wajib yakni menghormati, menjaga dan prihatin tentang nasib saudara seislam yang kita rempuh, tolak dan sebagainya.

Tak dapat mencium Hajarul Aswad pun tak apa, asalkan kita menjaga kehormatan, ketenangan dan keselamatan saudara seislam. Bukankah begitu?




What you see?

What you see is what you get. Apa yang anda lihat, itu yang anda akan dapat. Justeru, kita mesti melihat sesuatu dengan tepat supaya apa yang kita dapat adalah tepat juga. Oleh sebab itu, dua orang yang melihat Kaabah, tidak sama rasa, ilmu dan iktibar yang mereka dapat. Apa yang dilihat oleh seseorang berbeza dengan yang lain. Begitulah ketika hadir di Raudah, melihat Maqam Rasulullah SAW, Hijr Ismail dan sebagainya. Apa yang kita nampak?

Sayang, yang kita nampak kekadang hanyalah “objek” bukan “karakter” dan “Penciptanya”. Kita tidak nampak kecintaan Nabi Ibrahim a.s., kesabaran Nabi Ismail a.s. dan kesetiaan Siti Hajar. Tidak terbayang segala kisah dan ‘ibrah.(pengajaran). Otak kiri (fakta – kajian) dan kanan (visual – imaginasi) kita tidak terangsang.

Sedangkan jika kita memandang secara yang tepat, pasti emosi kita akan tersentuh. Dan pada ketika itulah Allah akan kurniakan rasa yang amat mendalam. Namun sekiranya kita kosong ilmu, buta sejarah, kontang fakta, hanya mengharap sola rasa semata-mata, ya mungkin kita akan menangis, tetapi hanya seketika.

Apabila pulang, “pulang” jualah segala iktibar dan pengajaran. Sikap dan kelakuan tidak berubah. Kita tidak dapat apa-apa kerana kita tidak “nampak” apa-apa!


Hatinya telah pergi

Apabila malam menjelang dia membuka buku Panduan Haji dan Umrahnya. Sudah kusam buku itu diulang baca. Ditatap berkali-kali. Sudah hafal segala doa dan kata. Sekali-sekala dia merenung beg besar yang telah dibelinya. Air mata seakan mengalir ketika tangannya meramas pakaian umrah yang masih baru dan segar baunya. Gelang tangan yang disediakan itu dikenakan berkali-kali. Ah, empat bulan lagi, rasa tak sabar. Ingin segera menyahut lambaian Kaabah.

Pantang ada orang bertanya bila nak pergi, dengan mata yang berkaca-kaca, mulut yang fasih dan yang ceria dia mula bercerita. Bukan kerana bangga, tetapi kerana keghairahannya. Sungguh, dia telah “pergi” sebelum pergi. Hatinya telah bersedia. Ah, sukar membayangkan bgaimana jika dia mati sebelum pergi? Apakah akan terubat kerinduannya?

Teringat makna haji – ertinya “menuju Allah”, dan bukankah kematian itu juga ertinya menuju Allah – pulang ke rahmatullah? Oh, betapa ramai pula yang belum pergi tetapi hatinya telah pergi. Dan betapa ramai pula yang telah pergi tetapi hatinya belum.

Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan mereka yang telah pergi dengan membawa hatinya sekali…


Dia tak pernah kembali

Ah, berbeza sungguh. Tutur katanya berubah. Tingkah lakunya tidak semacam dulu. Cakap tingginya telah merendah. Dia berubah. Begitu ajaib kuasa Allah – Tuhan yang pernah merubah Umar, Hamzah dan Ikrimah. Mampukah kita menjadi seperti “si dia” itu? Mengapa kita beranggapan hanya para sahabat sahaja yang mampu berubah? Kita juga mampu, asalkan kena sentuhannya, cara dan hidayahnya.

Umar yang asalnya penumpah darah, Hamzah yang pemarah, Ikrimah yang ego segalanya lebur dan luntur di persada hidayah. Melihat kaabah, ertinya melihat kebesaran Allah. Ihram, membuang keakuan memakai kekitaan. Tawaf, yang mendekat tetapi tidak bersatu. Arafah, lambang arif dengan syariatullah dan sunnatullah. Sa’i, penasaran dipacu dan diburu antara khauf (takut) dan raja’ (harap). Jangan bersisir, jangan berwangi-wangian, jangan menyakiti, jangan merosak, kau adalah pelarian, kau bagaikan penasaran memburu cinta Allah!


Kisah “Hajj Ibn Mubarak”

Ketika dia melihat si ibu memasak bangkai burung itu
Dia tersentak lalu berkata:

Itu haram dimakan untukmu dan keluarga
Namun si ibu menjawab hiba,
Ia telah halal untuk anak-anakku
Inilah makanan yang ada…
Buat menyambung nyawa

Lalu Ibn Mubarak pun menyerahkan wang simpanan

Wahai ibu… wangku ini penebus deritamu
Alangkah gembira keluarga itu menerimanya
Namun safar Ibn Mubarak tertangguh lagi…
Wang biayanya sudah tiada
Diberikan segalanya untuk yang lara

Ah, tiba-tiba dialog malaikat menjadi lagenda
Tahun itu haji Ibn Mubarak yang paling tinggi nilainya
Walaupun dia belum mencecah kakinya di Makkah
Namun hati tulusnya bagaikan telah mengucup Kaabah…
Bukankah haji itu menuju Allah?
Sesungguhnya: Kembara Ibn Mubarak telah sampai ke situ…
Oleh tulus hatinya membantu si ibu!

**dipetik daripada Buku Nota Hati Seorang Lelaki oleh Pahrol Mohd Juoi

No comments:

Post a Comment