Sunday, March 28, 2010

Wajih juara rancangan Adik-Adikku terbitan Jakim

KUALA LUMPUR 18 Mac - Muhammad Wajih Zakwan Hanif, 11, menjadi juara pertama rancangan realiti kanak-kanak terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Adik-Adikku di sini malam ini.

Melalui persembahan pada episod akhir rancangan tersebut yang disiarkan secara langsung di TV1, Wajih membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 berserta pakej umrah bernilai RM6,000 dan trofi.

"Saya berterima kasih kepada ibu bapa, mentor saya Asni Mansor dan orang kampung di Negeri Sembilan.

"Saya berharap untuk terus belajar dan berdakwah seterusnya mencapai cita-cita menjadi seorang pakar bedah," katanya selepas diumumkan sebagai juara Adik-Adikku.

Turut hadir menyaksikan episod akhir rancangan tersebut di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.

Walaupun mengalami kesukaran melihat dan terpaksa dipimpin untuk berjalan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 11, berjaya merangkul tempat kedua dan membawa pulang RM8,000 serta piala.

Sementara itu, tempat ketiga diraih Muhammad An-Naim Yasim, 13, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan piala dengan hadiah iringan.

Ketiga-tiga mereka turut membawa pulang hadiah iringan sebuah komputer riba, buku tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan perlindungan insurans tajaan Takaful Ikhlas Berhad.

Baki empat peserta akhir program tersebut pula menerima RM3,000 dan piala, RM500 daripada Baitulmal Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), RM400 dari Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan buku tajaan Yapeim.

Syarikat Gardenia Factories (Kuala Lumpur) Sdn. Bhd. menjadi penaja utama program tersebut di samping hadiah wang tunai yang disumbangkan Jamil Khir, Yayasan Nurkiwa, Yayasan Taqwa Masjid Wilayah Persekutuan, syarikat Faiza Sdn. Bhd., Baitulmal MAIWP, Tabung Haji dan SSPN.

Setiap daripada tujuh peserta akhir program tersebut dinilai sepenuhnya oleh juri profesional iaitu Norzizi Zulkifli, Profesor Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Ustaz Badli Shah Alauddin.

Program hiburan berkonsepkan ilmiah itu mula ditayangkan di TV1 sejak 15 Februari lalu dengan komposer nasyid terkenal, Farihin Abdul Fatah dilantik sebagai pengetuanya.

Dengan hampir 500 penyertaan kanak-kanak di antara umur sembilan hingga 14 tahun yang diterima sejak 2007, hanya 20 terpilih untuk dibimbing Farihin selama tiga minggu bermula 29 November hingga 23 Disember lalu.

Para peserta kemudian telah dibahagikan kepada lima kumpulan yang dipimpin oleh lima orang murabbi (pembimbing atau mentor) yang merupakan tokoh-tokoh agama terkenal negara iaitu Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Mohd. Farid Ravi Abdullah, Zamri Zainuldin, Zawawi Yusoh dan Asni Mansor.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_05.htm

2 comments: